Jika ditanya apa perasaanku ketika ini, aku sendiri tidak dapat menjawabnya. Sungguh, mendepani karenah pelajar dalam era yang semakin mencabar ini memerlukan kesabaran yang bukan sedikit. Bukan aku berniat untuk merungut, tidak tetapi naluri seorang guru itu adakalanya tersentuh juga dengan perangai mereka.
Kisah ini bermula pada suatu pagi yang akhirnya telah menyentap seluruh semangatku hari itu. Sungguh, perasaanku tercalar dengan apa yang berlaku, mungkin aku tidak setabah rakan-rakanku yang lain, tetapi peristiwa itu tetap terkesan di hati. Ketika aku berjalan melalui koridor sekolah, aku ternampak bungkusan nasi lemak yang isinya telah selamat dimakan tetapi sampahnya dibiar berselerakan di bahagian belakang kelas, lalu aku membuat teguran agar sampah itu dibuang. Masing-masing menuding jari tidak mahu mengaku yang sampah itu kepunyaan mereka. Nada suaraku naik sedikit meminta mereka membuang tanpa mempeduli siapa punya dan tanpa menunggu tindakan mereka aku berlalu ke kelas sebelah untuk mengambil kedatangan pelajar-pelajar kelasku pada pagi itu. Sebaik sahaja tugasku selesai, aku kembali melintasi kelas yang kutegur tadi. Alangkah hampanya kerana teguranku tadi langsung tidak dipeduli. Bungkusan itu tetap di situ dan mereka tetap bersembang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Sekali lagi aku menegur, kali ini, nadaku sedikit berubah, agak keras. Maka bangunlah seorang pelajar yang kurasa memang cuba untuk tidak menjadikan suasana lebih buruk dan membuangnya. Naluriku kuat menyatakan bukan dia yang makan nasi lemak tersebut. Memandangkan teguranku telah diambil tindakan sewajarnya, maka aku berlalu pergi. Belum sampai lima langkah aku bergerak, tiba-tiba aku mendengar suara seorang pelajar seolah-olah sedang menyindirku..
"Entah-entah cikgu yang makan, tuduh kami pulak" sungguh lancar kata-kata itu keluar dari mulutnya. Aku yang ketika itu ingin berlalu segera berpatah balik. Aku meminta agar dia mengulangi kata-katanya tadi tetapi dia enggan dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Bila suara kukuatkan, dia juga meninggikan suara membalas kembali. Tanpa sedar aku mengangkat tangan dan tindakan yang sama juga dilakukan oleh pelajar terbabit untuk menepis tanpa sedikit pun rasa bersalah. Allahuakbar, saat itu aku merasa sangat tercabar, namun kucuba untuk bertahan. Dia tanpa rasa apa-apa membalas renunganku dan menarik muka masam dan satu jelingan tajam diberikan kepadaku. Ya Allah, berikan aku sedikit kesabaran untuk menghadapi saat-saat seperti ini.
Aku sedar, kesabaranku semakin menipis, lalu aku berlalu pergi. Sebelum pergi sempat aku berkata
"Inilah rupanya perangai anak-anak didik yang kuajar dari awal tahun, tiada langsung rasa hormat kepada guru" Aku meninggalkan kelas yang sunyi sepi seketika. Masing-masing terdiam menyaksikan adegan yang tidak sepatutnya berlaku, dan ada dalam kalangan mereka barangkali tidak menyangka sahabat mereka sanggup bersikap kurang ajar seperti itu.
Peristiwa itu sebenarnya memberi kesan dalam jiwaku, mungkin aku terlalu sensitif, tidak sabar, emosional dan kurang bertoleransi dalam menangani situasi sebegitu tetapi sikap kurang ajar yang ditunjukkan benar-benar menggores hati seorang guru. Penghujung tahun ini, mereka bakal menduduki SPM, jauh disudut hati, aku masih mengharapkan kejayaan mereka cuma sebagai manusia aku tidak dapat mengelak betapa aku terasa hati bila anak-anak didikku bersikap seperti itu.
Semoga aku sentiasa dikurniakan rasa sabar kerana aku tahu, dunia pendidikan inilah duniaku. Anak-anak didik ini juga yang mewarnai kehidupanku, adakala telatah mereka mencuit hati dan adakala tingkah mereka menyentuh naluriku. Apa pun, aku akan tetap cuba untuk menangani segalanya sebaik mungkin, Insyallah.
No comments:
Post a Comment